Oftalmologi

Written by Super User on . Posted in Oftalmologi

Jabatan Oftalmologi


Jabatan Oftalmologi Hospital Kemaman telah memulakan perkhidmatan pada Februari 2005 dengan penempatan seorang Pegawai Optometri U41, manakala pada Ogos 2005, seorang lagi Pegawai Optometri U41 ditempatkan. Sehingga hari ini, terdapat dua orang Pegawai Optometri bertugas di Hospital Kemaman manakala seorang Pegawai Khidmat Pelanggan N17 ditempatkan bagi membantu perjalanan klinik berjalan dengan lancar. Pegawai-pegawai optometri ini berperanan dalam pelaksanaan 'Primary Eye Care' bagi komuniti di Daerah Kemaman.

OBJEKTIF UMUM

Untuk menyediakan Perkhidmatan Perawatan Mata bagi mencegah dan mengawal kebutaan melalui pengesanan awal komplikasi kesihatan mata kepada semua pelanggan secara profesional dan berkualiti ke arah kepuasan pelanggan dan peningkatan kualiti kehidupan.

OBJEKTIF KHUSUS

1. Menyediakan perkhidmatan perawatan mata untuk mengesan, merawat dan memulih kepada pesakit-pesakit yang memerlukan bagi mencapai pemulihan awal dan maksima kepada semua pesakit yang dirujuk.

2. Memberi pendidikan kesihatan yang berkaitan kepada semua pesakit mengikut keperluan mereka.

3. Memberikan perkhidmatan secara profesional, berkualiti dan terkini dengan menyediakan anggota petugas yang terlatih serta berhemah tinggi.

PIAGAM PELANGGAN

1. Setiap pelanggan akan diberi layanan mesra dan profesional

2. Setiap pelanggan akan diberi penerangan mengenai penyakit, prosedur dan rawatan yang dicadang termasuk risiko dan pilihan-pilihan lain

3. Setiap pelanggan akan diberi perkhidmatan mengikut nombor giliran, masa rawatan bergantung kepada keperluan kes

4. Sekurang-kurangnya 90% pelanggan akan dilihat pada temujanji dalam jangkamasa 90 minit waktu tiba di kaunter klinik

PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN

1. Perkhidmatan Pakar Oftalmologi Lawatan

Perkhidmatan Pakar Oftalmologi Lawatan bermula sejak tahun 2002 di Hospital Kemaman. Hospital Kemaman belum ditempatkan Pakar Oftalmologi, namun perancangan ke arah pembentukan Hospital Kemaman sebagai Pusat Rawatan Oftalmologi Kedua Negeri Terengganu giat dijalankan.

2. Perkhidmatan Optometri

a. Ujian Penglihatan dan Refraksi

·         Menentukan daya penglihatan pesakit dengan jitu merangkumi semua peringkat umur dari bayi hingga dewasa

·         Ujian refraksi - pengukuran kuasa ralat refraktif mata seterusnya menentukan preskripsi cermin mata yang sesuai bagi pesakit yang memerlukan cermin mata bagi kes-kes myopia, hiperopia, astigmatisma, presbiopia, juling, ambliopia, penglihatan terhad dan termasuk pesakit-pesakit yang belum dan telah menjalani pembedahan mata.

b. Ujian Penglihatan Binokular dan Ortoptik

Pemeriksaan ke atas pesakit yang mengalami masalah koordinasi kedua mata dan juling. Rawatan yang diberikan adalah secara cermin mata, prism atau latihan mata.

c. Ujian Medan Penglihatan

Melakukan ujian medan penglihatan pesakit dengan Bjerrum Screen dan Automated Visual Field bagi pesakit glaukoma dan diabetik.

d. Ujian Penglihatan Warna

Pemeriksaan penglihatan warna dijalankan bagi pelajar sekolah, calon untuk pengambilan lesen memandu serta penyakit-penyakit berkaitan.

e. Saringan Diabetik Retinopati

Saringan kesihatan mata bagi pesakit diabetik dijalankan bagi pesakit yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman. Pemeriksaan ini adalah bertujuan dalam pengesanan awal Diabetik Retinopati bagi mengawal dan mencegah kebutaan.

f. Saringan Glaukoma

Semua pesakit yang dirujuk ke Unit Oftalmologi akan disaring dengan pemeriksaan retina bagi pengesanan awal penyakit glaukoma.

g. Saringan Ralat Refraktif Pelajar Sekolah Rendah

Saringan ralat refraktif dikalangan pelajar sekolah rendah dijalankan di Klinik Kesihatan di dalam daerah Kemaman dan Dungun.

h. Perkhidmatan Penglihatan Terhad (Low Vision)

Memberi rawatan kepada pesakit yang berpenglihatan terhad dan menentukan jenis peralatan bantuan penglihatan yang sesuai digunakan serta merujuk pesakit ke badan-badan tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekolah Latihan Khas, jika perlu.

i. Perkhidmatan Rawatan Susulan Kanta Sentuh

Membantu pesakit yang telah memakai kanta sentuh dirujuk daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Memastikan cara pemakaian kanta sentuh pesakit adalah tepat serta memeriksa status kesihatan mata dan keadaan kanta sentuh dalam keadaan sihat dan baik, sebagai langkah mencegah komplikasi kanta sentuh terbentuk.